Reformasi bukan sekadar slogan : PM

13 SEPT : Reformasi bukan sekadar slogan, ia adalah iltizam yang berakar pada nilai keadilan, ketelusan dan kemanusiaan.
Demikian penegasan disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menghadiri Program Rapat Umum 27 Tahun Reformasi Peringkat Negeri Johor, hari ini.
Menurut Anwar yang juga Presiden PKR, perjuangan reformasi itu perlu diteruskan bagi membentuk negara maju.
“Mengakhiri lawatan kerja ke Johor, saya menghadiri Program Rapat Umum 27 Tahun Reformasi Peringkat Negeri Johor bersama saf kepimpinan dan anggota PKR negeri dan pusat dalam suasana penuh santai, harmoni dan semangat perjuangan yang tidak pernah luntur.
“Saya tekankan bahawa perjuangan ini mesti diteruskan dengan bijaksana, berprinsip, dan berpandukan visi untuk membentuk sebuah negara yang manusiawi, inklusif dan maju,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di Facebook selepas menghadiri acara itu, hari ini.
Menurut Anwar, negara yang kita semua impikan bukan sekadar hebat pada infrastruktur dan angka ekonomi, tetapi yang menjunjung maruah insan, membela yang tertindas dan meraikan kepelbagaian dalam semangat perpaduan.
“Setiap langkah reformasi yang kita pacu hari ini adalah demi generasi akan datang agar mereka mewarisi sebuah Malaysia yang adil, aman dan bermaruah,” katanya.
