15 SEPT : Terdapat keperluan semakan semula syarat kelayakan bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) susulan kenaikan gaji.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata ia bagi memastikan penerima yang menikmati kenaikan gaji baru-baru ini, masih layak menerima bantuan itu.
Menurut Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan, meski pendapatan rakyat meningkat sedikit namun mereka masih memerlukan bantuan berterusan.
“Saya ambil maklum ada dalam kalangan penerima yang sebelum ini menerima STR tetapi apabila mereka bekerja dan mendapat kenaikan gaji, kelayakan mereka terhenti. Jadi, had kelayakan STR itu wajar diteliti semula.
“Mungkin saya nak cadangkan kepada Kementerian Kewangan untuk menilai perkara ini memandangkan kita menyaksikan ada kenaikan gaji,” katanya.
Beliau berkata demikiana selepas menziarahi beberapa keluarga menerusi program Ziarah Kasih Komuniti MADANI di Kubang Semang pada Ahad.
Terdahulu, kerajaan mengumumkan kenaikkan gaji minimum RM1,500 kepada RM1,700 mulai 1 Februari lalu bagi membantu rakyat menampung keperluan asas dan mengurangkan tekanan kos sara hidup.
STR merupakan bantuan kewangan di bawah Belanjawan 2025 yang dikendalikan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).
Program itu bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang benar-benar layak dan memerlukan melibatkan tiga kategori iaitu isi rumah, warga emas tiada pasangan dan bujang.
Kelayakan gaji bagi kategori isu rumah dan warga emas tiada pasangan sebanyak RM5,000 dan ke bawah sementara kategori bujang melibatkan RM2,500 dan ke bawah.
