16 SEPT : Suruhanjaya Siasatan Antarabangsa Bebas (COI) mengesahkan berlaku genosid di Gaza yang masih berterusan.
Melalui laporan siasatan yang dijalankan selama hampir dua tahun itu, Pengerusinya, Navi Pillay berkata Israel bertanggungjawab sepenuhnya terhadap genosid berkenaan.
Suruhanjaya di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu membuat kesimpulan rejim zionis tersebut melakukan empat daripada lima pembunuhan beramai-ramai sejak Oktober 2023 yang disenaraikan di bawah Konvensyen Genosid 1948.
Laporan itu menyebut, keterangan saksi dan corak kelakuan tentera Israel menunjukkan kezaliman itu dilakukan secara sengaja dengan tujuan menghapuskan penduduk Palestin di Gaza.
Selain itu, laporan itu juga menyimpulkan bahawa Presiden Israel, Isaac Herzog; Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu; dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant menghasut perlakuan genosid.
“Jenayah kejam ini angkara kepimpinan tertinggi Tel Aviv,” kata Pillay.
Laporan suruhanjaya itu dilihat mampu memberi tekanan diplomatik serta berfungsi untuk mengumpulkan bukti yang akan digunakan di mahkamah.
Kata Pillay, COI sedang bekerjasama dengan pendakwa raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dengan berkongsi ribuan maklumat.