17 SEPT : Beberapa syarikat gergasi Amerika Syarikat (AS) disahkan akan membeli platform TikTok.
Perkara itu diumum Presiden AS, Donald Trump yang menunjukkan kejayaan rundingan setelah hampir setahun berjalan.
Menurut Trump, dengan pembelian itu, pemilikan syarikat induk TikTok dari China, ByteDance itu akan beralih kepada entiti baharu yang dikawal pelabur AS.
“Kami sudah mempunyai perjanjian untuk TikTok, sekumpulan syarikat besar mahu membelinya,” katanya pada sidang media di Rumah Putih.
Pengumuman itu dibuat menjelang tarikh akhir yang ditetapkan pentadbirannya untuk ByteDance menjual atau menutup operasi TikTok di AS.
Namun, tarikh akhir yang jatuh pada hari ini dilanjutkan sehingga 16 Disember bagi memberi masa tambahan.
TikTok yang mempunyai 170 juta pengguna di AS sebelum ini dianggap berisiko kepada keselamatan negara kerana data pengguna berpotensi diakses pemerintah China.
Pada tahun lalu, Kongres meluluskan undang-undang yang mewajibkan pelupusan aplikasi tersebut.
Namun Trump menolak idea itu kerana bimbang ia akan menimbulkan kemarahan pengguna.