Felda gesa mansuh permit import gula bertapis
17 SEPT : Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mengesyorkan pemansuhan permit kelulusan (AP) dan permit import (IP) bagi gula bertapis yang dijual di pasaran domestik susulan kebanjiran gula import.
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata Malaysia kini berdepan lebihan kapasiti pengeluaran gula.
Katanya, negara juga tidak memerlukan kehadiran gula import yang masuk ke pasaran tempatan sekitar 60,000 hingga 80,000 tan metrik setahun.
Menurutnya, gula import dijual pada harga yang sama dengan produk tempatan meski kos pengeluarannya di negara asal jauh lebih tinggi.
“MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM), sebahagian Ahli Kumpulan FGV yang merupakan pengeluar gula negara berharap kerajaan mansuhkan AP dan IP gula tapis import kerana langkah membenarkan masuk memberi tekanan besar kepada pengeluar tempatan.
“Kita lihat di negara seperti Vietnam, Filipina, Thailand dan Indonesia, harga gula mereka jauh lebih mahal antara RM5 hingga RM8 sekilogram, tetapi gula mereka boleh pula dijual di Malaysia pada harga RM2.85, sama seperti harga kawalan tempatan yang menunjukkan unsur lambakan dan perlu dihentikan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau kilang penapisan gula terbesar di Malaysia, MSM Perai, hari ini.
Pada sama sama, Ahmad Shabery turut melancarkan Gula Perai Edisi Khas FELDA.
Dalam pada itu, Ahmad Shabery berkata keadaan sekarang ini akan menjejaskan operasi di Malaysia sekali gus satu kerugian besar kepada ekonomi negara untuk tempoh panjang.
“Bagi saya, apabila kita sudah mengeluarkan gula berlebihan daripada keperluan, jadi tidak ada keperluan untuk kita memberi apa-apa permit import kepada mana-mana pihak untuk masuk kembali gula tapis dijual di sini,” katanya.
