17 SEPT : Harga runcit RON97 dan diesel meningkat sebanyak 3 sen seliter bagi tempoh 18 hingga 24 September ini.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan memaklumkan peningkatan itu seiring dengan peningkatan harga pasaran minyak dunia.
“Kerajaan menetapkan harga runcit petrol RON97 pada RM3.21 seliter manakala harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia pada RM2.93 seliter.
“Harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia masih kekal rendah berbanding harga diapungkan pada 10 Jun 2024 iaitu sebanyak RM3.35 seliter,” kata kementerian itu.
Sementara itu, harga runcit petrol RON95 kekal pada paras RM2.05 seliter dan harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada paras RM2.15 seliter.
Namun, menurut MOF, kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaras harga runcit petrol RON97 serta diesel dengan mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak juga menyokong kestabilan harga.
“Kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” kata kementerian.
Penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan Formula Mekanisme Harga Automatik (APM).