18 SEPT : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memastikan pembangunan di Kampung Baru benar-benar membawa manfaat kepada rakyat.
Beliau membuat kenyataan itu susulan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini.
“Alhamdulillah, saya menyambut baik kenyataan DYMM Sultan Selangor berhubung latar sejarah, masa depan dan hala tuju kawasan Kampong Bharu.
“Sebagai Pengerusi Majlis Perumahan Mampu Milik Negara, saya tetap beriltizam memastikan pembangunan benar-benar membawa manfaat kepada rakyat tanpa mengorbankan maruah, hak dan sejarah yang merupakan kepentingan nasional,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Sultan Sharafuddin menitahkan agar isu di Kampung Baru itu dikendalikan secara teliti dan berhemah dengan keutamaan harus diberikan kepada kepentingan orang Melayu.
Baginda juga bertitah tiada halangan sekiranya kawasan tersebut dibangunkan seiring dengan peredaran zaman, namun syarat-syaratnya harus jelas dan berpihak kepada orang Melayu.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pandangan Sultan Selangor itu selari dengan pendirian Kerajaan MADANI yang teguh menekankan keperluan menghargai warisan sejarah serta merangka pembangunan yang adil dan seimbang.
“Kerajaan berpegang teguh bahawa setiap keputusan mesti berpaksi pada aspek kesejahteraan rakyat serta kelangsungan identiti masyarakat,” katanya.