20 SEPT : Paip gas Petronas Berhad (PGB) di Tapak Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Seksyen 5, Kerteh dilaporkan bocor, pagi tadi.
Susulan itu, polis menutup laluan utama Kerteh-Ranggon kepada semua kenderaan.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata panggilan kecemasan diterima jam 9.53 pagi.
Menurutnya, laporan diterima menyebut terdapat kebocoran paip gas jenis butane dalam bentuk gas mudah terbakar.
Mohd Razi berkata lokasi kebocoran gas itu tidak melibatkan kawasan perkampungan atau kediaman penduduk dan terletak kira-kira dua kilometer dari jalan utama.
“Langkah awal pihak polis ialah menutup sepenuhnya kawasan kejadian daripada akses orang awam dan pekerja.
“Bekalan gas di saluran paip gas yang bocor juga telah diberhentikan dan ditutup untuk sementara hingga selesai kerja penyelenggaraan oleh kontraktor.
“Laluan utama Kerteh-Ranggon juga ditutup kepada semua kenderaan bagi tujuan keselamatan manakala Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) juga telah diaktifkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Razi pihak berkuasa sedang memantau situasi dan orang awam dinasihatkan tidak menghampiri lokasi kejadian bagi mengelakkan daripada insiden tidak diingini.