21 SEPT: Tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenakan denda RM100,000 kepada akhbar Sin Chew Daily dan Sinar Harian sebagai langkah tepat untuk memastikan media mengekalkan etika serta ketepatan laporan.
Ketua PKR Cabang Batu, Asheeq Ali Sethi Alivi berkata kebebasan bersuara tidak bermaksud media bebas menyiarkan maklumat cuai atau palsu kerana pengaruh besar media terhadap pandangan awam menuntut setiap laporan disemak dengan teliti dan bertanggungjawab.
“Dalam kes Sin Chew Daily, alasan kesilapan berpunca daripada penggunaan kecerdasan buatan (AI) bukanlah alasan yang mudah diterima…walaupun AI menawarkan banyak kelebihan, ia menuntut tahap kewaspadaan manusia yang lebih tinggi lebih-lebih lagi tanggungjawab utama sesebuah organisasi media ialah memastikan semua kandungan yang diterbitkan disemak dengan teliti.
“Kesilapan Sinar Harian pula dianggap lebih serius kerana berpotensi merosakkan reputasi individu dan menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap institusi negara…laporan palsu yang mendakwa Ketua Polis Negara (Datuk Seri Mohd Khalid Ismail) sebagai ahli parti politik bukanlah kesalahan kecil, sebaliknya boleh mencemarkan imej dan kredibiliti serta menimbulkan keraguan awam terhadap pihak berkuasa jika tidak ditangani,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Terdahulu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyifatkan kompaun RM100,000 MCMC terhadap Sin Chew dan Sinar Harian sebagai melampau serta berpotensi menekan kebebasan media serta menegaskan permohonan maaf dan pembetulan segera kedua-dua akhbar sudah memadai tanpa tindakan keras.
Dalam pada itu, Asheeq menegaskan tindakan tegas itu bukan mengekang kebebasan media sebaliknya memperkukuh keupayaan media untuk beroperasi secara profesional serta mengekalkan kepercayaan awam terhadap laporan yang disiarkan.
Selain itu, beliau berkata denda berkenaan perlu dilihat sebagai langkah pencegahan untuk memastikan media mematuhi etika kewartawanan dan mengekalkan integriti maklumat dalam era digital yang pantas berubah.
“Tindakan MCMC berlandaskan undang-undang sedia ada apabila kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan denda dikeluarkan mengikut Seksyen 243 setelah mendapat kelulusan Jabatan Peguam Negara.
“Walaupun jumlah denda dilihat berat, ia perlu juga dilihat sebagai langkah pencegahan bagi memastikan kesilapan sama tidak berulang serta memastikan media mengekalkan piawaian kewartawanan yang lebih tinggi,” katanya.
Asheeq berkata isu ini merupakan seruan penting dan tepat pada masanya agar organisasi media meningkatkan standard editorial khususnya ketika berdepan maklumat sensitif dan berimpak besar.
“Ini bukan tindakan mengawal media, sebaliknya memperkasakannya dengan memberi kebebasan sebenar untuk beroperasi dengan etika dan profesionalisme yang lebih tinggi…komitmen kepada piawaian ini akan meningkatkan kredibiliti media Malaysia dan mengekalkan kepercayaan awam,” katanya.
MCMC dalam kenyataan memaklumkan, kompaun terhadap Sin Chew dikenakan selepas siasatan mendapati akhbar digital itu menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap.
Tindakan ke atas Sinar Harian diambil kerana akaun Instagram rasminya memuat naik profil berisi maklumat tidak benar mengenai Ketua Polis Negara melibatkan dakwaan terhadap jawatan kepimpinan tertinggi sebuah parti politik tempatan.
OLEH : AISYAH BADRUL