Rakyat Malaysia nikmati RON95 RM1.99 mulai 30 Sept ini

22 SEPT : Seluruh rakyat Malaysia akan menikmati harga baharu petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter melalui inisiatif BUDI95 mulai 30 September ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata inisiatif kerajaan itu akan memberi manfaat kepada lebih 16 juta rakyat di negara ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata harga baharu RON95 itu boleh dinikmati rakyat Malaysia tanpa mengambil kira tahap pendapatan, sebagai penghargaan kepada semua rakyat.
Katanya, harga baharu itu boleh dinikmati dengan hanya menggunakan MyKad di kaunter dan pam atau menerusi aplikasi stesen minyak.
“Semua warganegara Malaysia yang memiliki lesen memandu sah layak menikmati subsidi RON95 ini.
“Kita putuskan untuk meletakkan kadar RON95 daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter bermula 30 September 2025 dan saya juga sebutkan manfaat dan keistimewaan ini hanya sebagai penghargaan semangat dari Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, jadi penghargaan kepada rakyat Malaysia seluruhnya,” katanya.
Beliau mengumumkan berita gembira itu pada majlis perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), hari ini.
Bagi mengelakkan kesesakan, Anwar berkata manfaat itu akan dinikmati lebih awal oleh anggota polis dan tentera mulai 27 September sementara penerima bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) mulai 28 September ini.
“Malaysia mengambil langkah berani menurunkan harga RON95 kepada RM1.99 seliter, tatkala dunia berdepan suasana ekonomi global yang tidak menentu.
“Langkah ini adalah penghargaan tertinggi buat seluruh rakyat Malaysia yang terus gigih bekerja, berusaha dan berkongsi tekad bersama Kerajaan MADANI dalam melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Tambahnya, kejayaan Malaysia hari ini adalah hasil kekuatan rakyat yang tidak pernah mengalah.
Semua rakyat akan menerima siling kelayakan bulanan BUDI95 sebanyak 300 liter namun had tersebut dikecualikan bagi pemandu e-hailing dan mereka boleh memohon untuk had yang lebih tinggi.
Sementara itu, bagi mana-mana golongan yang tidak layak seperti bukan warganegara perlu membeli RON95 pada harga tanpa subsidi yang dianggar sekitar RM2.60 seliter.
“Mulai 30 September, bukan warganegara dan syarikat besar tidak layak terima subsidi kerana ikut perseorangan, itu bermula 30 September pada harga RM2.60,” katanya.