KENYATAAN MEDIA
KEMENTERIAN KEWANGAN
Peralihan kepada BUDI MADANI RON95 (BUDI95), sistem subsidi petrol RON95 yang disasarkan khusus untuk rakyat Malaysia telah direka dan diteliti agar proses ini tidak menyulitkan rakyat, malah memberi manfaat kepada penerima.
Bagi melindungi kesejahteraan rakyat, Kerajaan MADANI akan memperuntukkan sekitar RM11 bilion untuk menampung perbezaan antara harga bersubsidi sebanyak RM1.99 seliter dan harga pam tanpa subsidi, iaitu sekitar RM2.60 seliter.
Dengan pemansuhan subsidi pukal, Kerajaan MADANI mengunjurkan BUDI95 akan menjana penjimatan antara RM2.5 bilion dan RM4 bilion setahun. Penjimatan ini akan digunakan untuk memperluas bantuan bersasar yang memberi manfaat terus kepada rakyat, termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Semua warganegara Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas yang mempunyai lesen memandu aktif layak secara automatik untuk membeli RON95 sehingga 300 liter sebulan.
Siling kelayakan bulanan ini telah ditetapkan berdasarkan dapatan kajian Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), di mana 99% pemandu kenderaan persendirian di Malaysia menggunakan kurang daripada 300 liter sebulan. Kelayakan 300 liter ini adalah memadai untuk seorang pekerja yang memandu kereta proton saga berulang-alik sejauh 200 kilometer dari Seremban ke Puncak Alam selama sebulan.
Siling kelayakan bulanan yang tinggi ini juga menjadi penampan terhadap eksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab, sama ada penyeludup sempadan mahupun syarikat komersial berskala besar.
Bagi memudahkan rakyat menyemak profil kelayakan serta baki penggunaan kelayakan bulanan, Kerajaan telah menyediakan portal www.budimadani.gov.my yang akan dibuka untuk kegunaan orang ramai pada 9.00 pagi hari Khamis, 25 September 2025. Pemandu e-hailing juga boleh memohon tambahan kepada siling kelayakan mereka di portal ini.
Orang ramai juga boleh menghubungi talian bantuan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai BUDI MADANI di nombor 1300-88-9595, juga mulai 9.00 pagi hari Khamis, 25 September 2025.
Kementerian Kewangan