23 SEPT : Kenderaan asing tetap tidak dibenarkan membeli RON95 selepas pelaksanaan penyasaran semula subsidi bahan bakar itu, hujung bulan ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata ketetapan dibuat kerajaan sbelum ini masih terpakai di mana semua kenderaan berdaftar dengan nombor plat asing hanya dibenarkan membeli RON97.
“Warga asing yang bermastautin di Malaysia dan menggunakan kenderaan berdaftar dalam negara dibenarkan membeli RON95 pada harga pasaran yang akan diumumkan hujung bulan nanti.
“Namun, bagi kenderaan berdaftar luar negara seperti Thailand, Indonesia atau Singapura, mereka hanya dibenarkan membeli RON97 seperti ketetapan sedia ada,”katanya.
Beliau berkata demikian selepas Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia 13 (RMK 13) Zon Utara, hari ini.
Menurut Amir Hamzah yang juga pemangku Menteri Ekonomi, tiada isu bekalan RON95 terjejas susulan pengapungan harga pada hujung bulan ini.
“Tiada masalah dari segi logistik atau bekalan kerana kereta plat asing tetap tidak dibenarkan membeli RON95, walaupun harga diapungkan.
“Mereka hanya boleh membeli RON97 yang kekal dalam sistem harga terapung (free float),” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan menetapkan siling kelayakan 300 liter sebulan bagi RON95 kepada setiap rakyat Malaysia dengan harga subsidi RM1.99 seliter yang berkuat kuasa mulai 30 September melalui sistem BUDI95.
Rakyat Malaysia yang berumur 16 tahun ke atas dan memiliki lesen memandu boleh membeli RON95 pada harga RM1.99 seliter dengan menggunakan MyKad masing-masing.