23 SEPT : Kerajaan menafikan laporan beberapa media tempatan yang menyebut kerajaan akan mengehadkan pembelian RON95 kepada sekali sehari.
Kementerian Kewangan (MoF) menegaskan kerajaan tidak mempunyai rancangan sama sekali untuk mengehadkan pembelian bahan bakar tersebut.
“Walaupun Kerajaan sedang meneliti langkah untuk mengelakkan penyalahgunaan subsidi RON95, Budi Madani RON95 (BUDI95) dilaksanakan dengan hasrat untuk memastikan keperluan harian rakyat Malaysia dapat dipenuhi.
“Had pembelian sekali sehari jelas tidak selaras dengan tujuan tersebut,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu beberapa media yang memetik Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan melaporkan pengguna tidak dibenarkan untuk membeli RON95 banyak kali dalam sehari.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan menetapkan siling kelayakan 300 liter sebulan bagi RON95 kepada setiap rakyat Malaysia dengan harga subsidi RM1.99 seliter yang berkuat kuasa mulai 30 September.
Rakyat Malaysia yang berumur 16 tahun ke atas dan memiliki lesen memandu boleh membeli RON95 pada harga RM1.99 seliter dengan menggunakan MyKad masing-masing.
