24 SEPT : Malaysia dan New Zealand terus memperkukuh hubungan dua hala melalui agenda halal.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, perkara itu dibangkitkan dalam pertemuan dengan Menteri Perdagangan dan Pelaburan, Pertanian dan Perhutanan New Zealand Todd McClay, hari ini.
“Bagi saya, kunjungan ini adalah isyarat hubungan erat yang mengikat kedua-dua kerajaan, sambil membuka peluang manfaat besar buat rakyat kedua-dua negara.
“Selain memperluas peluang kerjasama dalam industri halal, kami turut berbincang mengenai usaha memperkasa perdagangan dua hala, memperkukuh kerjasama serantau, serta menyokong aspirasi untuk memperdalam hubungan ASEAN-New Zealand demi manfaat ekonomi bersama,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia menerima kunjungan hormat McClay di pejabatnya di Putrajaya, tengah hari tadi.
Kunjungan balas itu katanya sebagai bukti kepada keakraban persahabatan antara Malaysia dan New Zealand.
“Pertemuan ini terasa akrab kerana pada Julai lalu, ketika kunjungan saya ke New Zealand, kami telah bertemu dua mata dan membuka ruang baharu dalam memperkukuh kerjasama dua hala.
“Kunjungan balas hari ini membuktikan keakraban persahabatan antara Malaysia dan New Zealand yang terus subur,” kata Ahmad Zahid.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata beliau menjemput New Zealand untuk menyertai MIHAS tahun hadapan dengan mewujudkan Pavilion sendiri sebagai platform memperkukuh jaringan dan peluang baharu dalam pasaran halal global.
“Insya-Allah, kerjasama ini akan terus diperkasa, menjadi contoh bagaimana hubungan strategik mampu membawa hasil nyata dan masa depan yang lebih baik,” katanya.
