26 SEPT : Sekutu rapat Israel, Amerika Syarikat (AS) menolak rancangan rejim itu untuk merampas Tebing Barat.
Presiden AS, Donald Trump bertegas beliau tidak akan membenarkan pengilhakan Tel Aviv terhadap wilayah Palestin itu.
“Saya tidak akan biarkan perkara itu berlaku. Tindakan seperti itu perlu dihentikan segera,” katanya.
Kenyataan terbaharu Trump itu dijangka menjadi tekanan terbaharu kepada Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu dan Tel Aviv.
Sejak kebelakangan ini, Netanyahu berdepan tekanan sekutu sayap kanan di bawah kerajaan ‘ekstremis’ pimpinannya untuk menguasai Tebing Barat hingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pemimpin Arab.
Trump juga dilihat cuba memainkan semula peranannya sebagai ‘pengaman global’ dengan mengemukakan 21 perkara pelan damai bagi menghentikan genosid di Gaza.
Pelan itu termasuk menuntut pembebasan baki tawanan, pelaksanaan gencatan senjata secara kekal dan pengunduran Israel secara berperingkat dari Gaza.