Kerajaan turunkan harga minyak hasil tatakelola baik

26 SEPT : Kerajaan MADANI mampu melaksanakan penyasaran semula subsidi dengan menurunkan harga minyak di bawah BUDI MADANI RON95 (BUDI95) kepada RM1.99 seliter adalah hasil daripada tatakelola yang baik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia mampu menurunkan harga minyak ketika negara-negara pengeluar masih menetapkan harga minyak pada kadar lebih tinggi.
“Kita baru mengumumkan penurunan harga RON95. Alhamdulillah sambutan penerimaan rakyat baik walaupun seperti biasa ada yang menegur atau memberi cadangan balas, kita akan teliti semuanya.
“Tetapi harus kita mulakan kenapa satu-satunya negara yang mampu meneruskan program penyasaran subsidi dengan maksud mengurangkan beban rakyat.
“…kita letakkan negara Arab Saudi kerana pengeluar minyak. Dulu harga minyak Saudi rendah sekitar 50 sen (seliter) sekarang harga minyak Saudi mencecah sehingga RM2.90 sen. Jauh lebih tinggi daripada Malaysia. Qatar juga pengeluar minyak dan gas tertinggi tapi masih menetapkan harga lebih tinggi.
“Kenapa kita memilih begitu (turunkan harga minyak) walaupun kita umumkan dasar penyasaran subsidi? Jawapannya ialah kerana kita mulakan dengan tatakelola yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya, hari ini.
Beliau menjelaskan kejayaan kerajaan melaksanakan BUDI95 itu selepas melakukan beberapa perubahan dasar, tender yang lebih telus, mengelakkan ketirisan, usaha menghapuskan rasuah serta beberapa kebijakan ekonomi.
“Kadang-kadang saya memilih untuk mengingatkan kerana kadang-kadang orang apabila baca dia fikir apa yang diperolehi, dia tidak tahu bahawa tidak semua negara mampu melakukannya.
“Ini setelah kita lalui dan yakin barulah kita perkenalkan. Walaupun cadangan awal ada yang mengatakan kita boleh dapat sehingga RM8 bilion, RM10 bilion. Kita fikir tidak boleh mulakan ikhtiar yang akan menyebabkan pertelingkahan kelompok atau yang tidak memberikan kesan dari sudut harga minyak dan harga barang.
“Jadi kita lakukan anjakan daripada cadangan awal contohnya daripada PADU (Pangkalan Data Utama) dan sebagainya itu akan menimbulkan banyak keresahan. Jadi apabila fikirkan itu…asalkan kita boleh jimat belanja subsidi saya fikir ini munasabah,” katanya.
Jelasnya, pelaksanaan BUDI95 itu kejayaan semua pihak yang memainkan peranan termasuk Kementerian Kewangan, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta semua badan penguatkuasaan yang terlibat dalam mengekang ketirisan.
*FOTO : PEJABAT PERDANA MENTERI MALAYSIA
*OLEH : HANUM RAJAK