Keupayaan sistem BUDI95 ditingkat 10 kali ganda

26 OGOS : Kerajaan meningkatkan keupayaan pelayan sistem 10 kali ganda bagi menampung transaksi Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sistem BUDI95 kini boleh memproses lebih 30,000 transaksi dalam seminit.
“Nak elak masalah dihadapi tatkala pada awal diperkenalkan SARA (Sumbangan Asas Rahmah), jadi BUDI95 kapasiti server (pelayan) lebih besar.
“SARA mampu memproses 3,000 transaksi seminit, tapi server BUDI95 dapat memproses 10 kali ganda maknanya lebih 30,000 transaksi seminit
“Saya nasihatkan sauda-saudara jangan gopoh 30 haribulan (September). tunggulah dua, tiga hari. Harga itu tidak bertukar, RM1.99 itu kekal. Jadi tak semua pergi beratur. Sebab kita buat secara berperingkat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya, hari ini.
Isnin lalu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan rakyat Malaysia akan menikmati harga baharu petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter melalui inisiatif BUDI95 mulai 30 September ini.
Manfaat itu akan dinikmati lebih awal oleh anggota polis dan tentera mulai 27 September sementara penerima bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) mulai 28 September ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata harga subsidi baharu itu diturunkan daripada kadar sebenar RM2.60 seliter bagi RON95 yang perlu dibayar bagi mana-mana pengguna tidak memiliki kad pengenalan termasuk warga asing di negara ini.
“Apabila kita turunkan harga (minyak) kepada warganegara…bagaimana kita nak tentukan warganegara? Kena adalah kad (pengenalan). Kalau kita tak buat begitu, orang lain (warga asing) dapat.
“Tanggungjawab kita adalah keluarga kita, masyarakat kita, negara kita. Warga asing tidak bayar cukai kepada kita. Itu pun warga asing masih mendapatkan harga (minyak) yang relatifnya murah.
“Warga asing itu merujuk kepada yang memiliki kenderaan berdaftar dalam negara. Kalau warga asing kenderaan luar kena bayar harga RON97,” katanya.
Beliau turut menempelak puak pembenci yang cuba menanam kebencian terhadap insiaitif terbaharu kerajaan kononnya penggunaan kad pengenalan ketika ingin membeli minyak sesuatu yang membebankan.
“Sebab itu kena ada kad pengenalan. Saya rasa kebanyakan orang boleh faham tapi ada golongan yang menanam kebencian…tengok beban, nak isi minyak kena keluar IC semua.
“Kalau ada nelayan, pekebun atau yang guna perahu di Sabah, Sarawak, Kelantan guna RON95 boleh kemuka rayuan. Kita akan bantu mana yang munasabah.
“Kalau benar mereka guna RON95, kita akan bantu tapi jangan ikut perangai pembenci-pembenci ini yang gunakan isu ini untuk membatalkan. Ini faedah untuk puluhan juta rakyat dan keluarga mereka. Saya harap hal-hal sebegitu dapat diselesaikan dengan baik,” katanya.
*FOTO : PEJABAT PERDANA MENTERI MALAYSIA
*OLEH : HANUM RAJAK