Tidak adil tuduh semua penjawat awam rasuah

26 SEPT : Tindakan sesetengah pihak menuding jari dan memberi gambaran tidak benar terhadap penjawat awam disifatkan sebagai tidak adil.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perlakuan kelompok kecil yang memberi imej buruk kepada penjawat awam tidak mewakili secara keseluruhan jentera kerajaan.
“Kita pun prihatin juga tentang kebimbangan ini kerana ia memberi gambaran kepada semua penjawat awam yang tidak benar.
“Jadi kelompok tertentu di beberapa jabatan atau kementerian itu yang menjadi punca imej kita (penjawat awam) terjejas.
“Saya nak tegaskan, tidak adil untuk sesetengah pihak generalize seolah-olah penjawat awam ini di tahap yang agak ‘mediocre’ dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan kerajaan akan terus memerangi kelompok kecil itu yang menjadi barah dalam kalangan penjawat awam.
“Mana-mana negara saya lihat masalah besar adalah ketirisan. terutama apabila ada amalan yang sudah jadi sistemik iaitu rasuah. beberapa kali diserang sesetengah jabatan itu, berapa kali ditukar, beberapa kali didakwa tetapi masih ada beberapa kelompok itu.
“Jadi saya nak jelaskan sekali lagi bahawa kita Alhamdulillah bersyukur kerana kita ada usaha yang bersungguh-sungguh untuk meningkatkan prestasi penjawat awam.
“Kelompok kecil yang menjadi barah ini dianggap mewakili (semua penjawat awam), kita masih bertekad untuk menyerang puak ini yang menyebabkan ketirisan dan rasuah,” katanya.
Mengulas lanjut, Anwar berkata pelbagai kejayaan dicapai kerajaan hari ini sebagai bukti kemampuan penjawat awam.
“Mereka tidak tahu bahawa kebanyakan (pencapaian)…kita catat pertumbuhan, pelaburan, kejayaan-kejayaan diplomasi…itu semua bukan kerja satu atau dua orang. Itu kerja seluruh jentera dan jentera itu jentera penjawat awam.
“Kelompok kecil ini tidak mewakili kelompok besar. Buktinya penyasaran subsidi minyak, tidak mungkin dilakukan kalau penjawat awam terutama di Kementerian Kewangan itu tidak berkesan dalam kerja mereka,” katanya.
*FOTO : PEJABAT PERDANA MENTERI MALAYSIA
*OLEH : HANUM RAJAK