28 SEPT : Tiada halangan untuk kerajaan memperluaskan inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) kepada pengusaha bot penumpang kecil.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata keputusan itu susulan kumpulan tersebut memainkan peranan penting kepada komuniti setempat.
“Kerajaan bersedia bekerjasama dengan kerajaan Sabah dan Sarawak dalam perkara ini kerana pengusaha bot penumpang juga antara kumpulan yang amat bergantung kepada bahan api bersubsidi bagi meneruskan operasi serta kelangsungan hidup mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan ke stesen minyak Petronas di Jalan Pohon Batu di Labuan, hari ini.
Menurut Amir Hamzah yang juga pemangku Menteri Ekonomi berkata ia bertepatan dengan objektif skim BUDI95 iaitu menyalurkan subsidi kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
“BUDI95 direka untuk menyalurkan subsidi secara langsung kepada mereka yang benar-benar memerlukan dan sekiranya pengusaha bot penumpang kecil turut dimasukkan, ini akan mengukuhkan lagi objektif bantuan bersasar itu,” katanya.
Katanya lagi, peluasan skim itu sekali gus dapat meringankan kos operasi pengusaha bot dan memberi manfaat kepada penduduk yang bergantung kepada pengangkutan air sebagai mod perjalanan harian.