30 SEPT : Harga petrol RON95 tanpa subsidi yang ditetapkan pada kadar RM2.60 seliter akan dikekalkan selama sebulan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata ia bagi memberi masa untuk orang ramai menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut.
Menurut Amir Hamzah, harga RON95 tanpa subsidi akan mula bergerak secara mingguan mengikut Mekanisme Harga Automatik (APM) selepas sebulan.
“Selepas sebulan, harga akan berubah setiap minggu berdasarkan harga pasaran global.
Kalau harga minyak dunia naik, ia akan naik. Kalau turun, harga di sini pun akan turun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Minggu Ekonomi Dan Kewangan Awam (MEKA) 2025 bertemakan Rancangan Malaysia Ke-13: Melakar Semula Pembangunan, hari ini.
Semalam, Kementerian Kewangan mengumumkan harga runcit RON95 tanpa subsidi ditetapkan pada kadar RM2.60 seliter susulan pelaksanaan program BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
Amir Hamzah yang juga pemangku Menteri Ekonomi berkata pendekatan kerajaan itu bagi memastikan rakyat menikmati harga yang lebih adil serta telus sejajar dengan pergerakan pasaran antarabangsa.
Setakat ini katanya, BUDI95 sudah dinikmati hampir 1.5 juta pengguna sejak pembukaan fasa pertama pada Sabtu.

*FOTO : FACEBOOK KEMENTERIAN KEWANGAN