30 SEPT : Semua pihak perlu melihat kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Malaysia dalam konteks politik serantau.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ia tidak sepatutnya hanya dilihat dari sudut polemik semasa kerana Malaysia mewakili ASEAN sempena kepengerusian bagi tahun ini yang membawa suara negara-negara anggota.
“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) adalah ketua kepada satu rantau yang mempunyai 680 juta penduduk dengan ekonomi yang besar dan stabil. Beliau akan menyampaikan suara Asia di hadapan pemimpin dunia termasuk dari Amerika, China, India, Russia dan Brazil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri Bagi Bulan September 2025 di Kementerian Dalam Negeri, hari ini.
Saifuddin mengulas kritikan diterima kerajaan susulan mengemukakan jemputan kepada Trump, ke negara ini bagi menghadiri persidangan itu.
Katanya, pertikaian itu perlu ditangani dengan kefahaman yang lebih luas termasuk dari sudut agama.
“Dalam al-Quran, Nabi Musa diperintahkan untuk berdepan dengan firaun, pemimpin paling kejam dalam sejarah dengan bahasa yang lemah lembut. Ini menunjukkan bahawa pendekatan bersemuka adalah penting untuk menyampaikan kebenaran.
“Jihad paling besar ialah berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim. Kalau kita tidak engage, bagaimana kita nak sampaikan mesej?” katanya.
Mesyuarat Kepengerusian ASEAN 2025 dijangka menjadi platform penting bagi perbincangan isu serantau dan global dengan kehadiran pemimpin dari pelbagai negara termasuk China.