Malaysia bertindak jika kapal GSF dihalang Israel

30 SEPT : Malaysia tidak akan berdiam diri sekiranya kapal misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza dipintas atau disekat Israel.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia akan menyatakan bantahan keras dan menggerakkan usaha diplomatik dengan rakan-rakan antarabangsa.
“Saya akan hubungi semua rakan, termasuk negara-negara seperti Itali, Sepanyol dan Turkiye yang telah ke depan dalam menyatakan sokongan, selain mendapatkan dokongan daripada China,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau Command Center Sumud Nusantara (SNCC) di Gudang Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) di Sepang, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata Malaysia akan berhubung dengan Perancis dan Arab Saudi susulan usaha yang sedang digerakkan menuju perdamaian.
Katanya, kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Malaysia kelak membuka peluang menyatakan desakan agar serangan ganas ke atas Gaza dapat dihentikan.
Tegasnya, hubungan dengan negara barat dan Arab termasuk AS penting untuk diperkukuh bagi menyampaikan mesej serta desakan dunia terhadap penindasan yang berlaku.
“Rundingan dan gesaan supaya pimpinan khususnya AS terima kenyataan dan tuntutan masyarakat dunia,” katanya.
