1 OKT : Kapal tentera Itali yang mengiringi pelayaran Global Sumud Flotila (GSF) akan meninggalkan konvoi itu sebaik tiba pada jarak 150 batu nautika (278 kilometer) dari garis pantai Gaza.
Perkara itu dimaklumkan Kementerian Pertahanan Itali dalam satu kenyataan.
Tindakan itu menyebabkan 40 bot awam yang membawa lebih 500 aktivis itu terdedah kepada tindakan tentera Israel.
Itali berkali-kali menggesa konvoi itu menerima cadangan meninggalkan bantuan tersebut di pelabuhan Cyprus bagi mengelakkan konfrontasi dengan tentera Israel namun GSF berulang kali menolak tawaran berkenaan.
“Kami katakan sekali lagi, armada ini akan terus berlayar. Tentera laut Itali tidak akan menggagalkan misi ini.
“Tuntutan kemanusiaan untuk memecahkan sekatan tidak boleh dibawa pulang ke pelabuhan,” kata GSF dalam satu kenyataan.
Konvoi itu kian menghampiri zon merah dan semua kapal dalam keadaan bersiap siaga atas sebarang kemungkinan.
Minggu lalu, Sepanyol dan Itali menghantar kapal tentera laut masing-masing mengiringi misi tersebut selepas insiden serangan dron di perairan antarabangsa di luar Greece.
Dalam pada itu, Israel belum mengaku melakukan serangan minggu lalu namun berikrar akan menggunakan apa-apa cara untuk menghalang bot itu daripada sampai ke Gaza.
*Foto: Facebook