1 OKT : Pemandu e-hailing akan menikmati manfaat tambahan BUDI MADANI RON95 (BUDI95) mulai 15 Oktober ini.
Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan manfaat tambahan BUDI95 itu juga akan dinikmati pengendali bot berdaftar.
“Kerajaan telah bersetuju memberi pemandu e-hailing sepenuh masa dengan had kelayakan tambahan dan penambahan had ini akan diberikan sebelum pertengahan bulan Oktober 2025.
“Pemandu e-hailing tidak perlu memohon secara individu. Kerajaan akan berurusan dengan Syarikat Pengendali e-hailing (EHO) untuk membuat permohonan secara berkelompok,” umum kementerian itu dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, kerajaan menyatakan kesediaan untuk meluaskan BUDI95 kepada pemandu e-hailing dan pengendali bot.
Menurut Kementerian Kewangan, Kerajaan Persekutuan sedang bekerjasama dengan agensi Kerajaan Negeri yang berkenaan seperti Lembaga Sungai-sungai Sarawak dan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah mengenal pasti pemilik bot berdaftar.

“Mengambil kira pengangkutan air, Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk melanjutkan kelayakan untuk BUDI95 kepada warganegara yang merupakan pemilik bot berdaftar, tanpa memerlukan lesen memandu yang sah,” kata kementerian itu.
Dalam pada itu, Kementerian Kewangan memaklumkan had kelayakan subsidi RON95 sebanyak 300 liter sebulan bagi setiap warganegara yang layak telah diperbaharui pada 1 Oktober 2025 dan manfaat ini akan diperbaharui setiap 1 hari bulan.
Kata kementerian itu lagi, setakat jam 6 petang hari ini, jumlah pembelian petrol RON95 bersubsidi melalui sistem BUDI95 telah merekodkan transaksi bernilai kira-kira RM84.2 juta.
“Ini melibatkan lebih daripada 42.3 juta liter petrol RON95. Daripada jumlah tersebut, kerajaan telah menyalurkan subsidi sebanyak RM27.8 juta bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat.
“Sejak pengenalan BUDI95 secara berperingkat mulai 27 September 2025, seramai lebih 3 juta pengguna telah memanfaatkan BUDI95 dengan jumlah keseluruhan transaksi petrol bersubsidi yang direkodkan adalah sebanyak RM255.6 juta, melibatkan 128.4 juta liter petrol dan subsidi berjumlah RM67.0 juta disalurkan oleh Kerajaan,” kata kementerian itu.
Menurut kenyataan itu, Kerajaan MADANI kekal komited memastikan program subsidi bersasar ini berjalan dengan lancar, telus dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
“Kelancaran operasi BUDI95 kekal menjadi keutamaan. MoF bersama agensi berkaitan akan terus memantau pelaksanaan BUDI95 dan melaksanakan penambahbaikan dari semasa ke semasa,” kata MoF.
Orang ramai boleh merujuk soalan lazim (FAQ) melalui portal rasmi BUDI MADANI atau menghubungi talian bantuan di 1-300-88-9595 atau melalui WhatsApp di +603-2631 4595 untuk maklumat lanjut.
Portal itu turut dilengkapi ciri semakan rekod transaksi yang boleh diakses melalui MyDigital ID bagi memastikan keselamatan data peribadi pengguna.