2 OKT : Ribuan peserta berhimpun di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) petang tadi selepas kapal misi Global Sumud Flotilla (GSF) dipintas tentera Israel di perairan Zon Merah R3 di Laut Mediterranean.
Berdasarkan data penjejak flotila, sekurang-kurangnya 317 aktivis daripada 21 kapal ditahan tentera Israel.
Difahamkan kesemua tahanan dibawa ke Pelabuhan Ashdod.
Orang ramai yang berhimpun melaungkan slogan ‘hidup Palestin’, ‘hidup Sumud’, ‘hancur Israel’ dan ‘bebaskan Palestin’.
Beberapa pemimpin kelihatan hadir termasuk Muhammad Kamil Abdul Munim, Maszlee Malik dalam cubaan menghantar memorandum bantahan ke pihak kedutaan.
Namun tiada wakil dari pihak kedutaan yang hadir bagi menerima memorandum tersebut atas faktor keselamatan.
Setakat artikel ini ditulis, ribuan lagi rakyat Malaysia sedang berhimpun di sekitar kedutaan itu.