2 OKT : Malaysia menuntut Israel membebaskan kesemua aktivis misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan Israel di perairan Zon Merah R3 di Laut Mediterranean.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan Malaysia akan bertindak demi kebebasan rakyat Malaysia yang ditahan.
“Saya menerima maklumat daripada pasukan aktivis dan sukarelawan Malaysia selepas rejim Zionis Israel memintas konvoi GSF.
“Saya menggesa agar semua aktivis serta sukarelawan Malaysia dan antarabangsa dibebaskan dalam kadar segera!
“Kerajaan akan lakukan yang terbaik untuk membebaskan warga Malaysia dalam tahanan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tegasnya, GSF merupakan sebuah misi kemanusiaan yang membawa orang awam tanpa senjata bersama bantuan yang amat diperlukan rakyat Gaza.
Setakat 8.30 pagi ini, seramai 12 rakyat Malaysia yang menyertai misi itu dilaporkan ditahan secara tidak sah selepas kapal yang mereka naiki dipintas di perairan antarabangsa, awal pagi tadi.
Perkara itu dimaklumkan Sumud Nusantara menerusi akaun media sosial sambil memuat naik rakaman video setiap rakyat Malaysia terbabit sebelum pelayaran.
Mereka adalah Farah Lee, Danish Nazram, Heliza Helmi, Hazwani Helmi, Zizi Kirana, Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khairudin, Rusydi Ramli, Iylia Balqis, Musa Nuwayri dan Sul Aidil .