2 OKT : Penahanan pengulas politik warga Australia, Murray Hunter di Thailand baru-baru ini adalah urusan pihak berkuasa negara itu tanpa sebarang bukti campur tangan daripada kerajaan Malaysia atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Penganalisis politik, Mustafa Ali berkata tuduhan dilemparkan Hunter yang mendakwa Malaysia terlibat dalam penahanannya bersifat spekulatif dan tidak disokong bukti sahih.
Katanya, dakwaan itu juga tidak mempunyai asas apabila diteliti dari sudut fakta dan hanya bersandar pada naratif peribadi yang tidak bertanggungjawab.
“Tindakan ini dibuat berdasarkan undang-undang dalam bidang kuasa Thailand…tiada bukti rasmi menunjukkan terdapat permintaan ekstradisi atau campur tangan daripada Malaysia.
“Thailand adalah sebuah negara berdaulat dengan sistem penguatkuasaan undang-undang sendiri…menyandarkan tindakan tersebut kepada desakan Malaysia adalah tuduhan serius yang memerlukan bukti, bukan sekadar sangkaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Terdahulu, Hunter dilaporkan ditahan pada 29 September lalu di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Bangkok sebelum dibawa ke Balai Polis Yannawa dan dituduh di bawah Seksyen 328 Kanun Jenayah Thailand berhubung empat artikel di platform Substack yang didakwa berunsur fitnah.
Bagaimanapun, Hunter dibebaskan selepas ditahan selama 48 jam dengan jaminan yang membolehkannya menunggu perbicaraan dijadualkan pada 17 November depan.
Mengulas lanjut, Mustafa berkata walaupun Hunter kerap mengkritik kerajaan dan institusi di Malaysia namun tiada sebarang tindakan undang-undang pernah diambil terhadapnya sebelum ini.
Katanya, kritikan terhadap kerajaan masih berlaku secara terbuka di Malaysia sama ada oleh tokoh politik, aktivis mahupun NGO sekali gus membuktikan negara ini tetap menghormati kebebasan bersuara selagi tidak melanggar undang-undang.
Selain itu, beliau juga menolak dakwaan menyatakan MCMC bertindak atas arahan politik kerana segala tindakan badan itu adalah mengikut peruntukan undang-undang sedia ada dan tertakluk kepada kelulusan Peguam Negara.
“Sebarang tindakan yang diambil oleh MCMC adalah berdasarkan peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), khususnya Seksyen 233(1)(a) dan Seksyen 243 bagi proses kompaun.
“Semua siasatan dijalankan secara profesional dan dikawal selia melalui prosedur undang-undang serta memerlukan kelulusan Peguam Negara untuk sebarang pendakwaan atau kompaun,” katanya.
Dalam pada itu, Mustafa berkata Hunter tidak mengemukakan sebarang bukti rasmi untuk menyokong dakwaannya, sebaliknya hanya mengutarakan pandangan peribadi yang boleh mengelirukan masyarakat.
Katanya, jika benar Hunter menjadi mangsa salah guna kuasa, beliau wajar membawa perkara itu ke mahkamah atau melalui saluran diplomatik rasmi dan bukannya mengeluarkan kenyataan terbuka yang boleh menjejaskan imej negara.
“Hunter berhak bersuara, tetapi suara itu perlu bertanggungjawab…sama seperti mana-mana rakyat Malaysia atau warga asing, beliau juga tertakluk kepada undang-undang, bukan dikecualikan hanya kerana mendakwa dirinya sebagai pengkritik.
“Malaysia kekal sebuah negara yang menghormati kebebasan bersuara, tetapi bukan kebebasan untuk menabur tuduhan tanpa asas…tindakan penguatkuasaan yang berlandaskan undang-undang bukanlah penindasan, ia adalah sempadan yang membezakan demokrasi daripada anarki,” katanya.
*OLEH : AISYAH BADRUL