3 OKT : Tindakan Israel memintas kapal dan menahan hampir kesemua aktivis misi Global Sumud Flotila (GSF) semalam menerima kecaman global.
Kejadian itu disiarkan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dalam kapal-kapal misi tersebut dengan tentera rejim yang lengkap bersenjata naik ke kapal.
Hampir seluruh dunia mengadakan protes bantahan terhadap Israel dan solidariti terhadap misi tersebut termasuk di bandar-bandar utama Eropah, Karachi, Buenos Aires, Mexico City juga Kuala Lumpur.
Setakat ini, hanya sebuah kapal masih belayar, Marinette dengan jarak kurang 10 batu nautika Israel mula memintas kapal lain.
Dalam siaran langsung CCTV, peserta misi kelihatan sedang mengemudi bot tersebut yang kini hanya pada jarak kurang 80 batu nautika dari Gaza.
Semalam, Kementerian Luar Israel dalam satu kenyataan berkata kesemua aktivis GSF akan dideportasi ke Eropah.
“Hanya sebuah lagi kapal provokasi masih berada pada jarak tertentu. Jika ia menghampiri, percubaan memasuki zon pertempuran aktif dan memecahkan sekatan akan turut dihalang,” kata kementerian rejim itu.
Pemimpin dunia terus mengecam tindakan Israel itu termasuk Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan yang menyifatkan tindakan itu sebagai bukti kerajaan Israel tidak berniat membenarkan keamanan dicapai.
Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa pula mendesak Israel segera membebaskan rakyat negaranya termasuk cucu mendiang Nelson Mandela, Nkosi Zwelivelile Mandela.
Sebuah pusat hak asasi manusia di Israel mendakwa kesemua tahanan akan dipindahkan ke imigresen sebaik tiba di Ashdod sebelum dibawa ke Penjara Ketziot di selatan Israel untuk proses pengusiran.