4 OKT : Kesemua 23 rakyat Malaysia yang ditahan tentera rejim zionis ketika dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) menuju Gaza ditempatkan di Penjara Ketziot.
Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata Centre for Human Rights Research & Advocacy (CENTHRA) memaklumkan pasukan peguam The Legal Centre for Arab Minority Rights in Israel (ADALAH) sudah bertemu dengan 331 peserta yang ditahan dengan empat warga Itali sudah dibebaskan.
Menurut beliau lagi, pihaknya dimaklumkan wakil ADALAH sudah berhubung dengan 20 daripada 23 delegasi Malaysia manakala tiga peserta lagi akan diuruskan dalam masa terdekat.
“SNCC menerima makluman seramai 462 peserta ditahan rejim zionis. Para peserta berkenaan sedang melalui proses prosiding bersama pihak berkuasa imigresen Israel.
“SNCC menerima makluman seramai 462 peserta ditahan rejim zionis dan laporan daripada pihak ADALAH melalui CENTHRA bahawa peserta flotila pada awalnya telah dinafikan hak bertemu peguam.
“Namun, dalam tempoh 24 jam yang lalu, peguam daripada ADALAH sudah bertemu dengan 331 peserta GSF di Pelabuhan Ashdod. Empat warganegara Itali sudah dibebaskan.
“Pihak SNCC turut menerima laporan daripada pihak ADALAH mengesahkan delegasi Malaysia kini ditempatkan di Penjara Ketziot Israel dan dinasihatkan ADALAH untuk menandatangani borang Request for Immediate Departure,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam kenyataan sama, Sani Araby memaklumkan para peserta flotilla dipaksa melutut dengan tangan bergari zip-tie bagi tempoh sekitar lima jam selepas sebahagian daripada mereka melaungkan slogan ‘Free Palestine’.
Katanya, peserta juga dinafikan akses asas seperti air, tandas, dan ubat-ubatan.
Menurut Sani Araby, pihak SNCC bersama Kerajaan Malaysia kini berada dalam siap sedia untuk membawa pulang semua 23 orang delegasi Malaysia sebaik sahaja menerima isyarat daripada kerajaan Turkiye yang menjadi penghubung utama dalam rundingan diplomatik dengan rejim Zionis.
“SNCC juga mengesahkan bahawa barangan bantuan kemanusiaan merangkumi beras, susu formula, air bersih, ubat-ubatan dan lain-lain telah dibawa bersama misi Global Sumud Flotilla.
“Barangan tersebut dipercayai masih berada di atas kapal yang telah dipintas oleh rejim Israel,” katanya.
Justeru itu, pihaknya menggesa seluruh rakyat Malaysia meneruskan sokongan kepada delegasi misi flotila itu dan melaksanakan solat hajat, doa Qunut Nazilah supaya koridor kemanusiaan di Gaza dibuka.