4 OKT : Operasi pelbagai perkhidmatan utama di Itali lumpuh selepas mogok besar-besaran berlangsung pada Jumaat sebagai tanda solidariti terhadap misi Global Sumud Flotilla dan rakyat Gaza.
Mogok anjuran kesatuan sekerja CGIL bersama kesatuan akar umbi itu disertai puluhan ribu rakyat Itali yang turun ke jalan raya yang menyebabkan operasi pelabuhan, perkhidmatan kereta api dan lebuh raya terjejas.
CGIL mendakwa 100,000 orang menyertai protes di Milan dengan penunjuk perasaan memenuhi Piazza Leonardo Da Vinci sambil mengibarkan bendera Palestin dan melaungkan slogan ‘Free Palestine’.
Di Genoa, kira-kira 40,000 orang berarak dari terminal feri ke pusat bandar dan sekurang-kurangnya 10,000 berhimpun di Brescia.
Sementara itu, peserta himpunan turut menyekat plaza tol lebuh raya A4 di Vicenza dan di Venice, perarakan memutuskan akses ke pusat bersejarah bandar itu.
Di Rom, orang ramai berarak dari Piazza Vittorio ke stesen Termini dengan membawa kain rentang bertulis ‘Stop the genocide, we are all Global Sumud Flotilla’.
Pelabuhan Livorno dan Salerno lumpuh akibat sekatan dan stesen utama ibu negara Itali itu turut mengalami pembatalan serta kelewatan perjalanan sehingga 80 minit.
Sementara itu, di beberapa bandar utama di dunia turut membanjiri jalanan untuk berdemonstrasi sebagai bantahan terhadap tindakan Israel yang memintas serta menawan peserta misi GSF.
Ini termasuk London, Berlin, Barcelona, Madrid, Paris, Marseille dan Brussels.
