4 OKT : Malaysia menyifatkan misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang turut disertai rakyat negara ini sebagai berjaya dalam membuka mata jutaan rakyat di seluruh dunia terhadap kezaliman Israel.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata meski pelayaran misi itu tidak sampai ke tujuan namun ia memberi ‘sumbangan’ besar.
“Pada hemat saya GSF sangat berjaya dari sudut ini…mereka tahu tidak begitu mudah untuk sampai ke kawasan jajahan Israel tetapi mereka telah memberikan sumbangan yang besar.
“Memberi kesedaran kepada ratusan juta rakyat di dunia bahawa rejim ini tidak hanya menentang kelompok yang mereka gelar sebagai ‘ganas’…walaupun bagi kita ini gerakan pembebasan Palestin dan Gaza…tetapi mereka juga melarang dengan keras apa jua bantuan kemanusiaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu rakaman video berkait usaha pembebasan aktivis dan sukarelawan Malaysia serta pelan damai Gaza, hari ini.
Dalam video sama, beliau memaklumkan 23 rakyat Malaysia yang ditahan Israel dalam misi GSF itu sudah dibebaskan dengan bantuan Turkiye dan dibawa ke Istanbul untuk pemeriksaan kesihatan sebelum diterbangkan ke Kuala Lumpur.
Semalam, jutaan masyarakat dunia turun ke jalan sebagai bantahan kepada tindakan rejim zionis ke atas peserta misi flotilla yang dipintas dan ditahan ketika sudah menghampiri perairan Gaza.
Mengulas soal rejim zionis itu, Anwar berkata negara yang bertamadun akan memberi ruang untuk bantuan kemanusiaan masuk.
“Ini hanya berlaku kalau negara itu dipimpin atau dikendali mereka yang mempunyai falsafah sangat kejam dan tidak bertamadun.
“Negara yang bertamadun sekurang-kurangnya akan memberi ruang untuk bantuan kemanusiaan. Ini pengajaran yang tersebar di seluruh dunia.
“Saya percaya rundingan terakhir yang digagaskan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump itu juga berhasil sebahagiannya kerana sentimen yang menyeluruh dalam kalangan masyarakat dunia,” katanya.
Namun beliau menegaskan, dukungan terbatas Malaysia terhadap perjanjian itu kerana mahu melihat jaminan kebebasan dan kemerdekaan Palestin.
“Tetapi keputusan Kerajaan Malaysia tentunya terikat dengan keputusan negara Arab, Islam dan Hamas sendiri.
“Kerana Hamas menerima kenyataan…pertama harus hentikan serangan, bebaskan Gaza dan Palestin, berikan ruang bantuan kemanusiaan serta bebaskan semua tahanan baik di Gaza mahupun di Israel.
“Butiran (perjanjian) itu perlu diperincikan dengan melibatkan semua pihak terutama Hamas, negara-negara Arab, jiran dan Islam. Bagi Malaysia apa saja yang munasabah diputuskan bersama akan kita lakukan,” katanya.