6 OKT : Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan berkuat kuasa, hari ini, umum Ketua Menterinya, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Memandangkan tempoh lima tahun DUN Sabah ke-16 akan berakhir, saya telah menghadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman pada pagi ini untuk menasihatkan pembubaran DUN.
“DUN akan dibubarkan berkuat kuasa pada hari ini, Isnin 6 Oktober 2025. Ini bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri Sabah ke-17 dan memberi kuasa kepada rakyat Sabah untuk menggunakan hak demokrasi mereka untuk menentukan siapa yang akan memimpin mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas, hari ini.
Menurut Hajiji, keputusan itu mencerminkan komitmen pihaknya terhadap demokrasi dan proses Perlembagaan.
Katanya, sepanjang tempoh lima tahun ini, kerajaan di bawah pimpinannya sudah bekerja dengan gigih untuk membawa perubahan dan pertumbuhan ekonomi yang bermakna kepada negeri serta rakyatnya.
“Melalui pelan pembangunan hala tuju Sabah Maju Jaya yang holistik dan inklusif kami telah meletakkan Sabah pada landasan transformasi yang jelas sejak menerajui negeri ini sejak September 2020,” katanya.
*OLEH : HANUM RAJAK