6 OKT : Kementerian Luar menegaskan kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur bagi menghadiri persidangan berkait dengan pengukuhan ekonomi negara dan ASEAN.
Timbalan menterinya, Datuk Mohamad Alamin berkata Trump dan negara-negara sepemikiran diyakini mencari jalan untuk kedamaian di Palestin.
“Kehadiran Trump ke KL ini dari segi objektifnya, sebagai negara ASEAN, Yang Berhormat Machang. Janganlah kita terlalu memikirkan soal perkara-perkara yang…ya kita memang peduli dengan apa yang berlaku di Palestin tapi faedah daripada hubungan dagang kita, hubungan pelaburan ASEAN dengan AS cukup besar.
“Malaysia ini dengan AS adalah ia merupakan satu negara yang beri pelaburan terbesar. Kita lihat dari sudut ekonomi tetapi insya-Allah dengan pendirian tegas Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan juga Menteri Luar sendiri (Datuk Seri Mohamad Hasan), kita cukup optimis dan cukup yakin, Trump bersama-sama dengan semua negara sepemikiran seperti Qatar, Mesir sentiasa mencari jalan untuk perdamaian di kawasan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) di Dewan Rakyat, hari ini.
Ahmad Fayshal mempertikaikan keputusan kerajaan menjemput Trump ke negara ini dan menuntut kerajaan menyatakan faedah terhadap tindakan tersebut.
Terdahulu, keputusan Malaysia menjemput Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN KE-47 di Kuala Lumpur mewakili 10 negara anggota lain dipertikai pelbagai pihak.
Dalam pada itu, Mohamad (BN-Kimanis) mengingatkan Ahmad Fayshal agar tidak menjadi lebih Hamas daripada kumpulan pejuang itu.
“Hamas menyambut baik pelan 20 perkara yang dicadangkan oleh Trump jadi kenapa kita tak bantu, tak sokong pendirian ini?
“Janganlah kita jadi lebih Hamas daripada Hamas. Kita bantu, kita sokonglah kita ingin capai perdamaian di Palestin.
“Jadi, Machang jangan jadi lebih daripada Hamas,” katanya.
Sementara bagi menjawab soalan asal dibangkitkan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang), Mohamad berkata Malaysia menyambut baik pelan damai yang diumumkan Trump pada 29 September itu.
“Apabila Donald Trump mengumumkan pelan ini, apa yang kita dapat manfaat besar kesannya ialah arahan Trump untuk mengentikan serangan dan pengeboman serta merta Israel terhadap Gaza. Ini yang kita nak.
“Apabila ada pelan 20 ini, kita akan dapat menyaksikan mudah-mudahan pemberhentian pengeboman, genosid, kemusnahan dan yang paling penting akan membuka ruang bahawa masyarakat dunia dapat menyalurkan bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza. Ini yang kita sambut baik.
“Tapi ada beberapa perkara yang kita perlu lihat dalam pelan itu. Ada kebimbangan dalam kalangan kita juga ada kelompangan di sana. Kita juga ingin perdamaian secara kekal. Hamas juga ingin melihat pengunduran sepenuhnya oleh tentera Israel dari Gaza. Kita mahu juga penentuan itu ditentukan oleh rakyat Palestin. Ini antara perkara yang tidak disebut jelas dalam pelan itu,” katanya.
Syed Ibrahim meminta Menteri Luar menyatakan perubahan utama dalam pendirian dasar luar Malaysia selepas Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam khususnya berhubung situasi di Gaza dan Palestin
*OLEH : HANUM RAJAK