6 OKT : Perdana Menteri Perancis, Sebastien Lecornu yang baru dilantik dan memegang jawatan itu 27 hari sah meletakkan jawatan.
Perkara itu diumum Istana Elysee hari ini selepas Presiden, Emmanuel Macron menerima peletakan jawatan Lecornu.
Lecornu dilantik menjawat jawatan itu kurang sebulan lalu malah keputusan itu dibuat hanya beberapa jam selepas beliau mengumumkan portfolio kementerian utama Kabinetnya.
Pada awalnya, Lecornu dijadual menyampaikan kenyataan dasar kerajaan di Parlimen Perancis selain mengumumkan baki pelantikan anggota Kabinet, esok.
Perancis dilanda ketidaktentuan politik sejak keputusan berisiko tinggi Macron untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya awal tahun lalu bagi mengukuhkan penguasaannya.