Tindakan konkrit perlu dilakukan demi tamatkan genosid

6 OKT : Perlu ada tindakan konkrit untuk menamatkan genosid dan kekejaman rejim zionis di Gaza, Palestin.
Kesepakatan itu dicapai Malaysia dan Pakistan, hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan perkara itu ketika sidang media bersama Perdana Menteri Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif yang mengadakan lawatan negara selama tiga hari ke Malaysia.
“Saya amat menghargai kenyataan tegas Pakistan, terutama dalam forum di Doha baru-baru ini mengenai isu Palestin dan Gaza.
“Kita sepakat bahawa mesti ada tindakan konkrit bagi menamatkan penderitaan berjuta-juta rakyat di wilayah itu,” katanya.
Menurut Anwar, meski mempunyai beberapa keraguan pada pelan damai dikemukakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump namun setakat ini Kerajaan Malaysia menyokong inisiatif itu.
“Sekurang-kurangnya apabila pengeboman dan pembunuhan dihentikan oleh rejim Zionis di Gaza, itu satu keputusan yang mesti dibuat secara kolektif oleh negara-negara Arab dan Islam.
“Pada masa yang sama, akses kemanusiaan amat penting. Saya tidak dapat membayangkan, seperti yang disebut oleh Perdana Menteri Pakistan, bahawa pada tahun 2025 selepas begitu banyak penderitaan, masih ada wanita dan bayi yang ditembak serta dibunuh. Ia amat mengejutkan,” katanya.

Terdahulu, Shehbaz diberi sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra dan beliau disambut Anwar Ibrahim pada jam 10 pagi sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.
Kedua-dua pemimpin akan menyaksikan pertukaran lima memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang pelancongan, pendidikan tinggi, pensijilan halal, pencegahan dan pembanterasan rasuah, perusahaan kecil dan sederhana, serta Pertukaran Nota (EoN) dalam bidang latihan untuk diplomat.