Gabungan pelbagai agama, kaum sokong misi Sumud Flotilla ke Palestin
KENYATAAN MEDIA
Satu gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang mewakili masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia hari ini menyatakan sokongan padu terhadap Misi Kemanusiaan Sumud Flotilla ke Palestin, sambil memuji keberanian dan keteguhan para aktivis yang terlibat.
“Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan sokongan terhadap keberanian aktivis Misi Sumud Flotilla yang telah membawa mesej solidariti kemanusiaan untuk rakyat Palestin,” menurut kenyataan bersama itu.
Gabungan tersebut turut menyambut baik pembebasan semua aktivis yang telah ditahan, serta menganggap ketabahan mereka sebagai simbol keberanian sejagat dalam menentang kezaliman dan ketidakadilan.
Kenyataan itu menegaskan bahawa perjuangan ini belum berakhir, dan bahawa usaha kemanusiaan, kesedaran serta solidariti terhadap rakyat Palestin akan diteruskan ke fasa seterusnya.
Menyorot semangat keharmonian masyarakat majmuk Malaysia, gabungan ini menegaskan bahawa isu Palestin bukan semata-mata isu agama, tetapi isu kemanusiaan sejagat yang menuntut keprihatinan seluruh insan.
Kenyataan itu turut menegaskan bahawa:
1. Kebebasan dan maruah rakyat Palestin mesti dihormati sebagaimana yang dijamin oleh undang-undang antarabangsa; dan
2. Solidariti merentasi kaum dan agama adalah kekuatan sebenar Malaysia — suara perpaduan dan keadilan sejagat.
“Kemanusiaan menyatukan kita. Solidariti ini akan terus hidup hingga Palestin merdeka,” menurut kenyataan tersebut.
Kenyataan bersama ini ditandatangani para pemimpin dan wakil pelbagai agama serta komuniti termasuk:
Dr Muhammad Fairuz Azmi (Youth for Unity Malaysia),
Shah Kirit Kakulal Govindji
(Global Unity Network),
Jason Leong (Association of Next Gen Christians of Malaysia),
Dr Balachandran Gopal Krishnan (Malaysia Hindu Sangam Terengganu),
Dr Charanjit Kaur (Aktivis agama Sikh),
Loh Pai Ling (Aktivis agama Buddha),
Dr Shawn Loh Sheng Nian (Asia Pacific Entrepreneurs Association),
Harinder Kaur (Gerakan Belia Se-Punjabi Malaysia),
Low Lee Leong (Gerakan Rakyat Patriotik),
Chew Hoong Ling (Aktivis Sosial),
Syahrul Md Yusoff (Kitakan Kawan),
dan Tai Zee Kin (Pendukung Perpaduan)