Belanjawan 2026 bukan sekadar dokumen kewangan tahunan

8 OKT : Belanjawan MADANI 2026 yang bakal dibentangkan esok bukan sekadar dokumen kewangan tahunan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dokumen itu merupakan cerminan keutamaan kerajaan dan hala tuju negara bagi tahun depan.
“Memberikan taklimat berkaitan Belanjawan MADANI 2026 kepada rakan-rakan media tengah hari tadi.
“Saya maklumkan, Belanjawan MADANI 2026 bukan sekadar dokumen kewangan tahunan tetapi ia adalah cerminan keutamaan kerajaan dan hala tuju negara bagi tahun mendatang,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata beliau turut menegaskan media memainkan peranan penting dalam menyampaikan naratif reformasi dan agenda perubahan negara kepada rakyat.
“Insya-Allah, perincian lanjut akan saya bentangkan dalam Belanjawan MADANI Keempat pada Jumaat ini dengan tumpuan kepada usaha membela rakyat, memperkukuh ekonomi dan memperteguh asas negara yang mampan serta inklusif,” katanya.
Beliau dijangka membentangkan Belanjawan 2026 di Parlimen, petang esok.
