8 OKT : Kesemua 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza menerima telefon bimbit baharu.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang menyumbangkan peranti itu berkata ia sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang terlibat.
Katanya, ia bagi memudahkan kesemua sukarelawan itu untuk berkomunikasi dan urusan peribadi sebaik kembali ke tanah air.
Ia juga katanya untuk membantu sukarelawan terus berkongsi pengalaman dan maklumat misi melalui saluran komunikasi digital dengan lebih efisien.
Menurut Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan, sumbangan kecil itu tanda terima kasih kerana mewakili rakyat Malaysia dalam misi kemanusiaan itu.
“Usaha dan semangat para sukarelawan misi GSF amat dihargai kerajaan,” katanya.
Fahmi hadir ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur bagi menyambut kepulangan 23 sukarelawan itu dari Istanbul, Turkiye, malam tadi.
Turut hadir Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Kesemua peserta misi itu termasuk empat dari kapal pemerhati serta lima peguam tiba dengan penerbangan Emirates EK342 jam 10.07 malam tadi.
Ketibaan mereka disambut ribuan penyokong yang membanjiri Balai Ketibaan di KLIA sebagai tanda solidariti.
Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan akan menggantikan telefon bimbit sukarelawan GSF yang terpaksa dibuang ke laut sesuai prosedur operasi standard (SOP) keselamatan yang dilatih sebelum pelayaran.
Ia sebagai langkah berjaga-jaga jika kapal dinaiki mereka ditahan tentera Israel susulan kesemua delegasi sudah menerima latihan praktikal sebelum memulakan misi itu.
Pada 2 Oktober, rejim zionis Israel memintas kesemua 42 kapal GSF ketika sudah menghampiri pantai Gaza dan menahan kesemua 495 aktivis termasuk 23 dari Malaysia.
Israel kemudiannya membebaskan tahanan secara berperingkat bermula 4 Oktober lalu.