8 OKT : Perdana Menteri menegaskan jemputan terhadap Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Malaysia hujung bulan ini adalah bagi membuka laluan kepada rundingan demi mencapai kedamaian di Gaza dan Palestin.
Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan undangan atas nama ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur itu bukan bermakna menyerah.
“Harus ada kebijaksanaan. Yang saya mahu dan rakan-rakan saya mahu itu damai. Jangan dibunuh lagi anak-anak kita di Gaza, jangan diapa-apakan wanita kita, merdekakan mereka, beri hak mereka.
“Kalau ini bermakna kita atas nama ASEAN mengundang Donald Trump, apa salahnya runding? Saya bukan nak menyerah, saya nak runding.
“…Kita nak cari penyelesaian. Penyelesaian itu memerlukan kebijaksanaan. Bukan kita menyerah, kita mencari helah kebijaksanaan yang disebut diplomasi,” tegasnya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza : Gelombang Malaysia, Palestin Merdeka di Bukit Jalil, malam ini.
Beliau sempat mengingatkan semua pihak agar tidak angkuh dan mengikut sentimen dalam mengkritik jemputan itu.
“Saya harap rakan-rakan faham ini, kita jangan ikut sentimen kita, angkuh kita seolah-olah kita tahu semua. Hina saya sebab jemput Donald Trump atas nama ASEAN.
“Itu bukan isunya. Bukan soal dagang sahaja tapi soal kebijaksanaan politik harus ada, kematangan harus ada,” katanya.
Mengulas soal penyertaan 23 rakyat Malaysia dalam misi Global Sumud Flotilla dalam usaha memecahkan sekatan Israel terhadap Gaza, Anwar berkata pujian harus diberikan atas keberanian mereka.
Pada masa sama, beliau menemplak pihak yang mempertikai penyertaan rakyat Malaysia ke misi itu sambil menasihatkan mereka sepatutnya didoakan.
“Saya ‘salute’ 23 orang ini. Ini manusia jenis apa ini. Kamu tak berani pergi, doakan. Ini tidak, kamu hamun dia.
“Orang yang sanggup berjuang kita ‘salute’, doakan. Serendah-rendah yang mampu kita lakukan. Mereka ini tinggalkan segala-galanya untuk ke Gaza. Ini bukan ke Paris tapi ke Gaza yang dikawal Israel.
“Saya sebagai anak Malaysia bangga dengan pengorbanan dan perjuangan mereka dan rakan-rakan seluruh dunia. Kamu tak sanggup jangan hina mereka yang sanggup,” katanya.
Ribuan peserta himpunan dari seluruh pelusuk negara membanjiri Axiata Arena Bukit Jalil malam ini sebagai tanda solidariti terhadap Gaza selain meraikan kepulangan 23 rakyat Malaysia yang ditahan Israel ketika menyertai misi Global Sumud Flotilla.
Mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur malam tadi dengan penerbangan Emirates dari Istanbul selepas menjalani pemeriksaan kesihatan dan rawatan sebaik dibebaskan.
*FOTO: FACEBOOK BERNAMA
*OLEH : HANUM RAJAK