8 OKT : Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) mengesahkan kapal pemerhati, Conscience yang dalam misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens To Gaza (TMTG) ditawan melalui udara di perairan antarabangsa dalam lingkungan 120 batu nautika dari Gaza.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kamarul Zaman Shaharul Anwar pada sidang media khas tergempar, hari ini.
Menurutnya, kapal-kapal lain dalam misi itu dipintas melalui laut.
“Kapal layar dipintas daripada laut. Nampak kapal-kapal itu (Israel) mengikuti kapal misi.
“Sementara kapal Conscience dipintas melalui laut sebab kapal Conscience itu tinggi,” katanya.
Dalam kejadian sekitar 10.50 pagi waktu Malaysia, kesemua sembilan kapal yang menyertai misi bantuan kemanusiaan gelombang ketiga itu dipintas.
Israel turut menahan aktivis di dalam kapal-kapal terbabit termasuk sembilan delegasi Malaysia terdiri daripada aktivis, doktor perubatan dan pengamal media.
Dalam perkongsian di Facebook rasmi MyCARE, kapal Conscience dipintas helikopter Apache selepas dirakam melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kapal tersebut.
Mengulas lanjut, Kamarul Zaman berkata kesemua kapal tersebut dijangka akan tiba ke Pelabuhan Ashdod di Israel dalam tempoh sekitar 24 jam.
Menurutnya, beberapa jam sebelum kejadian pihaknya mendapat laporan daripada kapal-kapal misi berkait kehadiran dron-dron yang berlegar di atas kapal mereka.
“Ada dikongsi tentang kehadiran dron datang tapi tiada tindakan cuma pada 3.30 pagi waktu sana kami mula dapat maklumat kehadiran kapal laju tanpa sebarang pengenalan.
“Pintasan kali ini jauh daripada kawasan biasa dipintas sekitar 140 batu nautika. Sebelum-sebelum ini sekitar 100 batu nautika.
“Mungkin ambil masa 24 jam untuk kapal tiba di Pelabuhan Ashdod melihat kepada jarak kapal dengan pelabuhan itu,” katanya.
Sementara itu, Presiden MyCARE, Datuk Seri Dr Kamal Nasharuddin Mustaha berkata sebelum kejadian, pihaknya mula terputus hubungan dengan kapal misi sekitar jam 10.05 pagi tadi.
“Kapal pertama dirampas Sunbird diikuti lapan kapal lain dan kapal terakhir Umm Said.
“MyCARE mengecam sekeras-kerasnya tindakan merampas kapal yang membawa bantuan kemanusiaan,” katanya.
Menurutnya, pihak-pihak berkepentingan sudah dimaklumkan terutama keluarga sukarelawan terlibat.
Lapan aktivis Malaysia yang menaiki kapal Conscience milik FFC adalah Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr Fauziah Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, Syafik Shukri Abdul Jalil, Prof Dr Mohd Afandi Salleh, Dr Noorhasyimah Ismail dan Norsham Abu Bakar.
Sementara seorang lagi peserta yang juga pakar perubatan, Dr Maziah Mohammad menaiki kapal Umm Saad.
FFC memaklumkan sebelum ini, kapal berkenaan membawa bekalan bantuan penting bernilai lebih AS$110,000 (RM519,000) termasuk ubat-ubatan, peralatan pernafasan dan bekalan nutrisi untuk hospital di Gaza yang kini kekurangan sumber.
Misi FFC dan TMTG turut membabitkan 10 kru kapal, 20 wartawan antarabangsa, 21 pakar perubatan, tiga ahli Parlimen, 34 aktivis serta enam anggota Jawatankuasa Pemandu FFC.
