8 OKT : Kesemua kapal yang dalam misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens To Gaza (TMTG) dipintas tentera rejim Israel, pagi ini.
Seramai sembilan delegasi Malaysia terlibat dalam gelombang ketiga misi bantuan kemanusiaan itu.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.50 pagi waktu tempatan itu, kesemua sembilan itu berada di perairan antarabangsa berhampiran Gaza.
Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) memaklumkan terdapat lapan delegasi Malaysia dalam kapal utama, Conscience sementara seorang lagi menaiki kapal layar Umm Saad.
MyCARE melalui kemas kini terbaharu di Facebook memaklumkan tujuh daripada sembilan kapal itu disahkan sudah dipintas Israel dengan dua lagi kapal terputus hubungan.
“Dipintas. Tujuh kapal FFCxTMTG telah dipintas manakala Umm Saad (dinaiki seorang peserta Malaysia, Dr Maziah) dan Milad terputus hubungan.
“Doakan agar semua peserta dalam keadaan baik,” menurut badan bukan kerajaan itu.
Sebelum ini, dilaporkan beberapa dron berlegar-legar di atas beberapa kapal.