9 OKT : Kesemua sembilan delegasi Malaysia yang ditahan tentera Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza (FFCxTMTG) disahkan berada di Penjara Ketziot di Negev.
Perkara itu disahkan Peguam Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (ADALAH).
Sembilan kapal misi yang dipintas pagi semalam dinaiki 145 aktivis itu juga sudah ditunda ke Pelabuhan Ashdod.
Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE, Kamarul Zaman Shaharul Anwar memaklumkan proses guaman sudah bermula hari ini dijangkakan kesemuanya dibebaskan dalam tempoh 72 jam selepas borang ‘Permohonan Untuk Pelepasan Segera’ ditandatangani.
“Proses rundingan itu masih berlangsung dan kita (MyCARE) sedang menunggu maklumat daripada peguam, mungkin petang ini, memandangkan ketika ini di sana (Israel) masih awal pagi.
“Kalau ada perbicaraan tribunal (terhadap delegasi Malaysia), akan dimaklumkan kemudian. Peguam ADALAH telah berjumpa dengan sebahagian delegasi dan proses guaman masih berlangsung.
“Ada yang mengalami keganasan semasa pemintasan dan peguam telah meminta untuk bertemu dengan mereka awal petang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu pejabat MyCARE di Sri Kembangan, hari ini.
Dalam kejadian 10.50 pagi waktu Malaysia semalam, sembilan kapal FFC x TMTG diserbu Israel ketika berada dalam lingkungan 120 baru nautika dari Gaza.
Menurut Kamarul Zaman, pihaknya juga dimaklumkan kesemua delegasi Malaysia berada dalam keadaan selamat dan proses guaman dimulakan hari ini.
“Tujuh daripada mereka sudah bertemu dengan peguam ADALAH untuk urusan guaman selanjutnya,” katanya.
FFC memaklumkan sebelum ini, kapal berkenaan membawa bekalan bantuan penting bernilai lebih AS$110,000 (RM519,000) termasuk ubat-ubatan, peralatan pernafasan dan bekalan nutrisi untuk hospital di Gaza yang kini kekurangan sumber.
Misi FFC dan TMTG turut membabitkan 10 kru kapal, 20 wartawan antarabangsa, 21 pakar perubatan, tiga ahli Parlimen, 34 aktivis serta enam anggota Jawatankuasa Pemandu FFC.
Sembilan rakyat Malaysia yang terlibat adalah Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr Fauziah Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, Syafik Shukri Abdul Jalil, Prof Dr Mohd Afandi Salleh, Dr Noorhasyimah Ismail, Norsham Abu Bakar dan Dr Maziah Mohammad.