Biasiswa untuk 5 rakyat Palestin belajar kejuruteraan rangkaian, audio
9 OKT : Kerajaan Malaysia bersedia menawarkan biasiswa kepada lima rakyat Palestin bagi mengikuti pengajian dalam bidang kejuruteraan rangkaian dan radio di negara ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata inisiatif melalui kementeriannya itu memberi keutamaan kepada golongan muda sama ada dari Gaza, Ramallah, Tebing Barat, Nablus atau wilayah lain di Palestin yang berminat mendalami bidang tersebut.
“Ini merupakan satu daripada usaha Kementerian Komunikasi serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ke arah pembangunan semula Gaza selain membangunkan Palestin yang lebih baik.
“Kita percaya pendidikan dalam bidang komunikasi dan teknologi satu bentuk pelaburan jangka panjang terhadap pembangunan semula Palestin yang lebih terangkum dari segi komunikasi dalam negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Redly Pos Malaysia International sempena sambutan Hari Pos Sedunia 2025 di Pusat Mel Nasional, hari ini.
Menurut Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan, perbincangan awal dengan Kedutaan Palestin di Kuala Lumpur sudah berlangsung untuk meneliti syarat-syarat kemasukan serta pelaksanaannya.
Selain itu katanya, pihak kedutaan Palestin mencadangkan agar kementerian membantu membangunkan kelas dalam talian bagi pelajar Palestin, sebagaimana usaha yang dilaksanakan melalui Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di negara ini.
Katanya, cadangan itu sedang diteliti dan berkemungkinan akan bekerjasama dengan pihak-pihak lain bagi merealisasikan perkara itu.
“Ini supaya walaupun tidak mempunyai sekolah secara fizikal, sekiranya ada peranti dan capaian Internet, mereka tetap boleh meneruskan pembelajaran,” katanya.
Inisiatif itu katanya merupakan sebahagian daripada sumbangan Malaysia ke arah pembangunan semula Gaza dan Palestin yang lebih sejahtera melalui pendidikan serta teknologi komunikasi.
*FOTO: FACEBOOK KEMENTERIAN KOMUNIKASI