9 OKT : Lebih 700,000 kes influenza dikesan di Thailand sejak awal tahun ini dengan 61 kematian direkodkan.
Pejabat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (ODPC) dalam satu kenyataan hari ini mengeluarkan nasihat terhadap orang ramai di negara itu agar berwaspada ketika peralihan musim hujan ke musim sejuk.
Menurut ODPC, influenza lebih mudah merebak akibat perubahan cuaca terutama kepada warga emas dan kanak-kanak.
“Sejumlah 702,238 kes influenza telah direkodkan di seluruh negara setakat ini dengan 61 kematian, terutamanya dalam kalangan warga emas dan kanak-kanak kecil.
“Pihak berkuasa menasihatkan kumpulan berisiko tinggi mendapatkan suntikan vaksin selesema tahunan,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Pengarah ODPC 9 di Nakhon Ratchasima, Dr Taweechai Visanuyothin melahirkan kebimbangan terhadap situasi influenza di Thailand terutama pada penghujung musim hujan hingga awal musim sejuk.
“Penyakit ini merebak melalui batuk, bersin atau sentuhan dengan titisan mukus atau air liur daripada individu yang dijangkiti.
“Mereka yang dijangkiti mungkin mengalami demam panas, hidung berair, batuk, sakit tekak, sakit kepala, keletihan dan sakit otot,” katanya.
Jelasnya, influenza boleh menyerang individu di semua peringkat umur dan mampu mencetus penularan kelompok di sekolah, penjara, kem tentera dan tempat kerja.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar mengelak tempat sesak, memakai pelitup hidung dan mulut serta kerap mencuci tangan.