9 OKT : Malaysia menyambut baik kemajuan dalam rundingan pelan damai antara Hamas dan Israel.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkembangan itu memberi sinar harapan kepada rakyat di Gaza, Palestin.
“Saya menyambut baik laporan mengenai kemajuan dalam rundingan gencatan senjata di Gaza. Perkembangan ini memberi sedikit sinar harapan selepas berbulan-bulan penderitaan dan kemusnahan yang tidak tertanggung.
“Setiap usaha untuk menamatkan keganasan dan melindungi nyawa yang tidak berdosa mesti dilaksanakan dengan keikhlasan dan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di Facebook rasminya, hari ini.
Terdahulu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan Hamas dan Israel mencapai kata sepakat dalam fasa pertama pelan damai pada Rabu.
Menurut Trump, melalui kesepakatan itu semua tebusan akan dibebaskan, penarikan tentera Israel serta penubuhan jawatankuasa teknokrat Palestin bagi mengurus hal ehwal awam Gaza.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Palestin dalam perjuangan demi keadilan, maruah dan kenegaraan.
“Saya menggesa semua pihak berkaitan untuk merebut peluang ini bagi menuju ke arah keamanan yang menyeluruh dan berkekalan,” katanya.