Deepavali: LLM jangka 2.6 juta kenderaan di lebuh raya utama
11 OKT : Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan 2.6 juta kenderaan sehari di lebuh raya utama sempena perayaan Hari Deepavali yang akan disambut 20 Oktober ini.
Selain itu, LLM turut menjangkakan akan berlaku peningkatan jumlah trafik di lebuh raya utama seawal hari Khamis pada 16 Oktober 2025 bagi pengguna lebuh raya yang menuju ke arah Utara, Selatan dan Pantai Timur.
“LLM menyambut baik pengumuman Kerajaan MADANI memberikan diskaun tol 50 peratus daripada kadar tol biasa bagi kenderaan Kelas 1 (Kelas 2 di Jambatan Pulau Pinang) sahaja bermula pada 18 Oktober 2025 jam 12.01 tengah malam sehingga 19 Oktober 2025 jam 11.59 malam di semua plaza tol,” menurut LLM dalam satu kenyataan, hari ini.
Namun ia tidak terpakai di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Lebuhraya Utara Selatan dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Lebuhraya laluan Kedua Malaysia – Singapura (LINKEDUA).
Dalam pada itu, LLM memaklumkan sudah mengarahkan kesemua syarikat konsesi lebuh raya untuk melakukan persediaan rapi agar perjalanan pengguna lebuh raya adalah selamat dan lancar sepanjang tempoh itu.
Ini termasuk dengan memastikan tiada penutupan lorong, mengaktifkan laluan ‘smart lane’ di Lebuhraya PLUS, memastikan sistem kutipan tol berfungsi dengan baik, memastikan pengoperasian lebuh raya dalam keadaan terbaik dan semua kemudahan dapat berfungsi.
Selain itu kata LLM, semua syarikat konsesi juga diarah menyediakan kemudahan tambahan parkir dan tandas sementara; meningkatkan bilangan petugas untuk memastikan kebersihan tandas dan memastikan kecukupan bekalan air serta memastikan bekalan minyak di stesen-stesen minyak mencukupi.