Salah laku seksual: Lapor secara bertanggungjawab
13 OKT : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memandang serius laporan berkait sebaran rakaman video kes salah laku seksual yang melibatkan beberapa orang pelajar di sebuah sekolah di Melaka.
Agensi itu menggesa media melaporkan isu tersebut secara beretika dan bertanggungjawab tanpa menyiarkan kandungan sensasi yang boleh menjejaskan siasatan atau memberi tekanan emosi kepada mangsa.
“Pengamal media juga diingatkan supaya tidak mendedahkan sebarang maklumat sensitif yang boleh menyebabkan identiti mangsa dikenal pasti, selaras dengan larangan dalam Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611],” menurut MCMC dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, MCMC turut mengingatkan orang ramai bahawa tindakan menyebar atau mengedarkan video atau bahan sedemikian menerusi perkhidmatan dalam talian boleh menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].
“MCMC sedang bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penyedia perkhidmatan bagi memastikan sebarang kandungan yang berpotensi mengganggu siasatan atau menjejaskan emosi mangsa dapat diturunkan daripada platform media sosial,” kata MCMC.
Terdahulu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek meminta MCMC menyekat segera penyebaran video salah laku seksual membabitkan seorang pelajar perempuan di Melaka.
Fadhlina turut menggesa orang ramai agar menghentikan penyebaran video tersebut.
Media sebelum ini melaporkan seorang pelajar Tingkatan Tiga dipercayai dirogol dua pelajar senior di dalam kelas yang turut dirakam dan disaksikan dua pelajar lain.
Ibu mangsa yang menerima maklumat daripada guru mengenai penyebaran video itu segera membuat laporan polis di Balai Polis Alor Gajah.