13 OKT : Mekanisme penyaluran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) perlu disemak semula agar lebih fleksibel dan responsif terhadap keperluan rakyat.
Sehubungan itu, Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mencadangkan supaya pemberian STR setiap tiga bulan dalam masa setahun digantikan dengan pemberian bulanan atau setiap dua minggu sepertimana dilaksanakan di India.
Katanya, langkah itu dilihat dapat membantu rakyat mengurus perbelanjaan harian dengan lebih teratur dan mengelakkan tekanan akibat komitmen bulanan yang semakin meningkat.
“Langkah ini pasti dapat membantu rakyat mengurus perbelanjaan dengan lebih baik dengan mengelakkan perbelanjaan berkala..ramai rakyat yang menzahirkan keresahan mengenai kos sara hidup walaupun kadar inflasi hanya dijangka sekitar 1.8 peratus di separuh kedua 2025.
“Belanjawan 2026 juga membuktikan komitmen berterusan kerajaan untuk melindungi rakyat berpendapatan rendah dan sederhana melalui peningkatan STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sehingga mereka mendapat rm4600 setahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 di dewan Rakyat, hari ini.
Bagaimanapun, Shahar yang juga Pengerusi Backbenchers (BBC) berkata bantuan tunai bukanlah penyelesaian kekal, sebaliknya kerajaan perlu memberi tumpuan kepada langkah jangka panjang seperti kenaikan kadar gaji progresif, latihan semula tenaga kerja dan pemerkasaan ekonomi komuniti.
Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) turut menyarankan kerajaan untuk terus tegas dan konsisten dalam membanteras rasuah serta memperkukuh integriti pentadbiran bagi memastikan setiap hasil negara diurus dengan telus dan berkesan.
Katanya, ketegasan kerajaan dalam menangani isu integriti dan tatakelola adalah kunci kepada kestabilan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.
“Negara telah mengalami kerugian hampir RM277 bilion dalam tempoh lima tahun akibat jenayah rasuah, jumlah yang amat besar dan membimbangkan bagi sebuah negara berpopulasi sekitar 34 juta orang.
“Komitmen kerajaan MADANI dalam membanteras ketirisan rasuah dengan tindakan konsisten agensi penguatkuasa seperti Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Di raja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) yang berjaya memulihkan hampir RM15.5 bilion dalam tempoh dua tahun wajar diberi pujian,” katanya.
Dalam pada itu, Shahar turut memuji usaha Dasar luar Malaysia di bawah kerajaan MADANI yang terus menunjukkan pendekatan lebih aktif dan lantang melalui diplomasi kemanusiaan dan usaha pencegahan konflik bagi memupuk hubungan serantau serta global yang harmoni.
“Pendekatan ini turut terserlah dalam pendirian tegas negara terhadap isu kemanusiaan termasuk krisis di Myanmar serta komitmen memastikan keselamatan 34 rakyat Malaysia dan lebih 500 peserta antarabangsa dalam Global Sumud Flotilla ke Gaza terjamin serta terus mengecam keras tindakan rejim zionis Israel,” katanya.
OLEH: AISYAH BADRUL