14 OKT : Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa tampil membela diri dengan menegaskan fakta dan penjelasan diberi di Parlimen berkait Kampung Sungai Baru berdasarkan dokumen rasmi kerajaan.
Penegasan itu dibuat susulan tuduhan yang dilemparkan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa terhadapnya berkait Sesi Penerangan Menteri pada 9 Oktober lalu.
“Saya terpanggil menjawab tuduhan yang dibuat oleh Tan Sri Annuar Musa yang mendakwa kononnya saya telah berbohong kepada Parlimen, melakukan fitnah dan memesongkan fakta dalam Sesi Penerangan Menteri pada 9 Oktober 2025.
“Tidak ada keperluan untuk saya mengulangi perkara yang telah saya bentangkan kerana segala fakta yang dikemukakan di Dewan Rakyat adalah bersandarkan dokumen rasmi kerajaan yang direkodkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Jumaat lalu, Annuar menyifatkan kenyataan Zaliha di Dewan Rakyat sebagai penyelewengan fakta dan fitnah serius.
Dalam pada itu, Zaliha menyifatkan tuduhan yang dilemparkan Annuar itu satu fitnah yang serius dan mencalar reputasinya sebagai seorang menteri.
“Malah adalah percubaan merendahkan integriti Parlimen itu sendiri. Sekiranya beliau mendakwa saya memesongkan fakta, maka beliaulah yang wajar tampil dan mengemukakan bukti sebaliknya.
“Integriti Dewan Rakyat tidak boleh dipermainkan dengan tuduhan yang tidak bersandarkan asas,” katanya.
Tambahnya, fokus Kerajaan MADANI pada masa ini adalah memastikan penduduk yang sudah bersetuju kembali semula ke Kampung Sungai Baru dengan segera dan memperoleh hak yang sewajarnya.
Pada sesi itu, Zaliha berkata keputusan berkaitan kelulusan pewartaan membabitkan Kampung Sungai Baru mengikut Akta Pengambilan Tanah 1960 (Akta 486) pada 2021 telah dibuat secara tergesa-gesa hanya dalam tempoh tiga hari.
Menurut Zaliha, keputusan berkenaan dibuat selepas permohonan mengambil alih tanah termasuk kediaman flat dan lot teres dikemukakan pemaju kepada Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) ketika itu.
Katanya, kewajaran kelulusan secara tergesa-gesa yang menyebabkan semua tanah terbabit menjadi hak milik pemaju perlu diajukan kepada Annuar sebagai Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu.