14 OKT : Seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun ditahan polis hari ini selepas disyaki menikam sehingga mati seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya pada jam 9.30 pagi tadi.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dan motif kejadian masih belum dapat dikenal pasti.
“Ia satu kejadian yang menyedihkan, pelajar perempuan itu telah meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Suspek telah ditahan, kes masih dalam siasatan, motif kejadian belum dapat dikenal pasti,” katanya pada sidang media sempena Kempen Anti Buli Polis Diraja Malaysia, hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat memaklumkan hasil siasatan awal mendapati mangsa ditikam berulang kali menggunakan dua senjata berbeza.
“Kita lihat memang ada banyak kesan tikaman namun belum dapat dipastikan dengan sebenar berapa kali mangsa ditikam.
“Proses bedah siasat masih berlangsung yang akan menentukan punca sebenar kematian mangsa,” katanya.
Shamsudin berkata pasukan petugas khas ditubuhkan bagi menyiasat kejadian itu.
Ketua Pengarah Pendidikan, Mohd Azam Ahmad dalam sidang media khas petang tadi berkata pentadbir sekolah terlibat akan dipindahkan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sehingga siasatan selesai dijalankan.
“KPM memandang serius insiden jenayah yang berlaku antara pelajar di dalam kawasan sekolah termasuk kes yang melibatkan kematian dan rogol baru-baru ini. Kami tidak menganggap kes-kes ini sebagai kes terpencil.
“Kementerian melihat insiden-insiden ini sebagai satu tamparan tegas kepada kami untuk melakukan lebih banyak usaha bagi memperkukuh keselamatan pelajar dan kesejahteraan mental mereka,” katanya.
